Ekologi Landak laut

Tahap trofik

Landak laut di habitat semula jadi

Landak laut terutamanya memakan alga, maka ia merupakan haiwan herbivor pada umumnya, tetapi ia juga memakan timun laut dan pelbagai jenis invertebrata seperti siput sudu, polychaete, bunga karang, tapak sulaiman rapuh, dan krinoid, menjadikannya omnivor dan pengguna makanan di pelbagai tahap trofik.[19]

Pemangsa, parasit, dan penyakit

Kematian massa landak pertama kali dilaporkan pada tahun 1970-an, tetapi penyakit pada landak laut belum banyak dikaji sebelum munculnya akuakultur. Pada tahun 1981, "penyakit berbintik" bawaan bakteria hampir menghapuskan seluruh bekalan Pseudocentrotus depressus dan Hemicentrotus pulcherrimus muda, kedua-duanya diternak di Jepun; penyakit itu berulang pada tahun-tahun berikutnya. Ia dibahagikan kepada penyakit "musim panas" air sejuk penyakit "musim panas" air panas.[20] Satu lagi penyakit iaitu "penyakit landak laut botak" menyebabkan duri tercabut dan luka pada kulit, dipercayai berasal dari bakteria.[21]

Landak dewasa biasanya cukup terlindung dari kebanyakan pemangsa oleh duri-durinya yang kuat dan tajam, malah berbisa pada beberapa spesies.[22] Ikan paut landak kecil hidup di celah-celah duri landak seperti Diadema; yang remaja memakan pedicellaria dan sphaeridia, dewasa jantan memilih kaki tiub sementara dewasa betina berpindah untuk memakan telur udang dan moluska.[23]

Landak laut adalah salah satu makanan kegemaran ramai udang, ketam, ikan ayam laut, California sheephead, memerang laut dan belut serigala (yang khusus memburu landak laut). Semua haiwan ini mempunyai penyesuaian tertentu (gigi, penjepit, cakar) dan kekuatan yang membolehkan ia mengatasi ciri perlindungan landak laut yang sangat kebal. Jika dibiarkan tanpa pemangsa, landak laut memusnahkan persekitarannya dan mewujudkan apa yang dipanggil oleh ahli biologi sebagai "tanah tandus landak" yang ketiadaan makroalga dan fauna yang berkaitan.[24] Memerang laut telah memasuki semula British Columbia dan memulihkan kesihatan ekosistem pesisir secara mendadak.[25]

Pertahanan

Landak bunga adalah spesies yang amat berbahaya.

Landak laut dilindungi dari ancaman pemangsa oleh duri-durinya, malah sesetengah spesies mempunyai duri yang panjang dan tajam. Sesetengah landak laut tropika seperti Diadematidae, Echinothuriidae dan Toxopneustidae mempunyai duri-duri yang berbisa. Ada juga makhluk lain yang memperalatkan pertahanan landak laut ini, misalnya: ketam, udang dan organisma lain berlindung di celah-celah duri, dan sering menggunakan pewarnaan inang mereka. Beberapa ketam dalam keluarga Dorippidae membawa landak laut, bintang laut, kerang tajam atau benda pelindung lain di cakar mereka.[26]

Pedicellaria[27] adalah alat pertahanan yang baik terhadap ektoparasit (parasit luaran), tetapi bukan ubat mujarab kerana sebilangan ektoparasit benar-benar memakannya.[28] Sistem hemal bertahan melawan endoparasit (parasit dalaman).[29]

Taburan dan habitat

Landak laut mendapat tempat di kebanyakan habitat dasar laut dari antara perbani ke bawah, pada jarak kedalaman yang sangat luas.[30] Beberapa spesies, seperti Cidaris abyssicola, dapat hidup pada kedalaman beberapa ribu meter. Sejumlah besar genus hanya terdapat di zon abis, termasuk kebanyakan ahli-ahli Cidaroida, Echinothuriidae, dan Dermechinus. Salah satu keluarga landak yang terdalam adalah Pourtalesiidae,[31] iaitu landak laut aneh berbentuk botol yang yang hanya hidup di zon hadal dan pernah dikumpulkan dari sedalam 6850 meter di bawah permukaan di Parit Sunda.[32] Walaupun begitu, ini menjadikan landak laut sebagai kelas echinoderma yang hidup paling dalam, dibandingkan dengan tapak sulaiman dan krinoid yang masih banyak di bawah 8,000 m (26,250 ka) dan timun laut yang telah direkodkan dari 10,687 m (35,100 ka).[32]

Kepadatan penduduk berbeza-beza mengikut habitat, dengan populasi yang lebih padat di kawasan tandus dibandingkan dengan kawasan kelpa.[33][34] Walaupun di kawasan tandus ini, kepadatan terbesar terdapat di perairan cetek. Landak laut umumnya dijumpai di perairan yang lebih dalam jika terdapat tindakan ombak.[34] Kepadatan menurun pada musim sejuk ketika ribut menyebabkan mereka mencari perlindungan di celah-celah dan di sekitar struktur bawah air yang lebih besar.[34] Spesies "landak kerikil" (Colobocentrotus atratus) yang hidup di garis pantai yang terdedah, sangat lasak terhadap tindakan ombak. Ini adalah salah satu dari sedikit landak laut yang dapat bertahan selama berjam-jam di luar air.[35]

Landak laut dapat dijumpai di semua iklim, dari laut yang hangat hingga lautan kutub.[30] Larva landak kutub Sterechinus neumayeri didapati menggunakan tenaga dalam proses metabolik dua puluh lima kali lebih berkesan daripada kebanyakan organisma lain.[36] Walaupun terdapat di hampir semua ekosistem laut, kebanyakan spesies terdapat di pantai beriklim tropika dan sederhana, antara permukaan dan sedalam puluhan meter, dekat dengan sumber makanan fotosintetik.[30]

Rujukan

WikiPedia: Landak laut http://www.smh.com.au/articles/2004/11/08/10997813... http://www.dfo-mpo.gc.ca/species-especes/species/s... http://echinoblog.blogspot.com/2008/04/holding-on-... http://www.bonappetit.com/people/article/californi... http://www.gizmag.com/carbon-capture-calcium-carbo... http://www.livescience.com/animals/091228-sea-urch... http://emedicine.medscape.com/article/770053-overv... http://www.smithsonianmag.com/science-nature/rise-... http://www.american.edu/TED/urchin.htm http://www.exploratorium.edu/imaging-station/resea...